KUALA LUMPUR: Bapa tiri yang disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun hingga mati di Taman Sri Ramal, Kajang di sini direman selama lima hari bermula hari ini hingga 28 Nov.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata lelaki berusia 53 tahun itu direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Serdang pada 12.39 tengah malam 22 Nov lepas berhubung seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa ke hospital itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital dan menerusi bedah siasat dijalankan doktor semalam, punca kematian kanak-kanak itu dipercayai daripada kesan hentakan objek tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan ususnya pecah.

Susulan itu, seorang lelaki tempatan ditahan di pekarangan Hospital Serdang pada 2.25 petang semalam. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image