KUALA LUMPUR: Bekalan air di 145 kawasan di Sepang dan 11 lagi di Kuala Langat dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna pukul 6.30 petang ini, secara berperingkat.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam Facebook rasmi memaklumkan sehingga pukul 9 pagi tadi, pelaksanaan kerja-kerja kecemasan telah mencapai tahap 55 peratus dan kerja-kerja pembaikan dijangka siap pada pukul 6 petang.

Air Selangor turut memaklumkan bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pukul 6 petang esok dan tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza, bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Katanya pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat insiden ini dari semasa ke semasa.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image