KOTA KINABALU: Penduduk Sabah tidak perlu risau tentang isu kekurangan bekalan ayam yang melanda negara baru-baru ini, kerana bekalan ayam masih mencukupi untuk penduduk negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah itu berkata pada masa ini, Sabah mampu menghasilkan sendiri lebih 100,000 ekor ayam disembelih dan 2.5 juta biji telur ayam sehari, yang mana jumlah itu mampu memenuhi permintaan penduduk tempatan.

Beliau berkata harga ayam serta telur di Sabah pula banyak bergantung kepada bekalan dan permintaan, namun pada masa ini harga barangan itu dilihat masih stabil.

“Kita cuma bimbang permintaan tinggi berlaku pada musim perayaan, kita pada masa ini ayam dan telur ayam banyak dikeluarkan sendiri. Nisbah (ayam) import banding ayam tempatan kita juga tidak sampai 20 peratus kebanyakan (import) melibatkan bahagian sayap ayam.

“Kesan kekurangan bekalan ayam tidak teruk di Sabah. Kita juga tidak eksport ayam ke luar negara, namun jika ada lebihan (bekalan ayam) kita sedia hantar ke Semenanjung,” katanya pada sidang media sempena sambutan Pesta Kaamatan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan, dihentikan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil, sebagai langkah jangka pendek kerajaan terhadap isu bekalan serta harga ayam pada masa ini.

Sementara itu, Jeffrey berkata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dijadual merasmikan kemuncak sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazadusun (KDCA), Penampang pada 31 Mei ini.

Beliau berkata orang ramai dijemput menghadiri majlis itu, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan penyakit berjangkit antaranya Covid-19.

“Sambutan Pesta Kaamatan yang dijalankan bermula pada 1 Mei lepas berjalan lancar di daerah-daerah, di dewan (Hongkod Koisaan) terhad kepada 1,000 dan jika sesak ibu bapa tidak digalakkan membawa anak-anak.

“Tetapi orang ramai boleh mengikuti siaran langsung di platform media sosial seperti Facebook dan Youtube, apa yang penting semua yang hadir jaga SOP dan jaga kebersihan diri,” katanya. - Bernama