KOTA KINABALU: Bekalan daging ayam mentah di Sabah mencukupi khususnya menjelang sambutan perayaan Pesta Kaamatan yang akan disambut esok hingga 31 Mei, kata Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabah (PPDNHEP) Georgie Abas.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik, memandangkan bekalan ayam mentah yang sedia ada mencukupi, selepas hasil pemeriksaan mendapati bekalan daging ayam masih boleh diperoleh di pasar-pasar utama, pasar raya dan kedai runcit.

“Di Sabah terdapat 19 penternak ayam pedaging utama yang boleh mengeluarkan tiga juta ayam sebulan, dan dianggarkan purata mampu mengeluarkan 100,000 ekor ayam sehari, sementara bekalan ayam dihantar ke pasar raya utama antara 100 hingga 300 ekor daging ayam sehari,“ katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Georgie berkata pemeriksaan dan pemantauan bekalan ayam termasuk barangan keperluan asas yang lain telah dijalankan untuk memastikan bekalan barangan keperluan asas tidak terputus dan dijual pada harga yang berpatutan.

Beliau berkata kepak ayam juga turut disenaraikan sebagai barang harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan berkuat kuasa 27 Mei hingga 2 Jun depan.

Katanya penentuan Harga Maksimum Bagi Ayam dan Telur Ayam (PHMAT) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lepas hingga 5 Jun ini turut merekodkan sebanyak 58 kes setakat semalam, yang berkaitan dengan kesalahan tidak mematuhi pelaksanaan PHMAT.

Menurutnya jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi 58 kes terbabit adalah RM11,949 dan kesemua kes telah dikompaun dengan jumlah nilai kompaun keseluruhan ialah RM9,200.

Georgie berkata tindakan perundangan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 sekiranya seseorang peniaga itu didapati menaikkan harga barang dengan niat untuk mengambil keuntungan berlebihan.

Beliau berkata pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan salah laku peniaga, boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP berserta maklumat yang lengkap melalui beberapa saluran.

“Antara saluran berkenaan ialah melalui aplikasi WhatsApp di nombor 019-279 4317 atau 019-848 8000, e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800, e-aduan@kpdnhep.gov.my, Ez ADU KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image