BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menafikan sumber bekalan telur ayam di negeri itu semakin berkurangan sejak minggu lepas sebaliknya ia mencukupi.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghafar berkata berdasarkan pemantauan pihaknya bekalan telur ayam mencukupi sepanjang bulan Ramadan ini terutama untuk menampung permintaan tinggi daripada peniaga dan pengusaha kuih raya.

“Setakat ini, kami tidak terima sebarang aduan berkenaan kekurangan bekalan telur ayam dan ayam...kedua-duanya adalah barangan kawalan serta perlu dijual dengan harga yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Jika pengguna atau orang ramai yang mendapati tiada bekalan untuk telur ayam atau ayam di negeri ini, mereka boleh membuat aduan terus kepada KPDNHEP Pulau Pinang supaya tindakan segera dapat diambil tetapi setakat ini berdasarkan pemantauan kami, tiada masalah kekurangan bekalan,“ katanya kepada pemberita selepas Ops Pantau di Bazar Ramadan Masjid Perda, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar melaporkan pemborong telur ayam di Pulau Pinang mula resah memikirkan tentang sumber bekalan itu dikatakan semakin berkurangan sejak minggu lepas sehingga tidak dapat memenuhi permintaan separuh daripada pelanggan tetapnya.

Seorang pemborong telur ayam di daerah Barat Daya yang mahu dikenali sebagai Zul, 42, dilaporkan berkata dia perlu mengutamakan pelanggan tetap iaitu peniaga runcit, pasar awam, pasar raya dan pembuat kek dengan jumlah tempahan terpaksa dihadkan.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga ayam yang ditetapkan RM8.90 sekilogram, seperti berlaku di beberapa negeri lain ketika bulan Ramadan ini berikutan permintaan tinggi daripada pengguna.

“Setakat ini, kami lihat harga ayam dijual masih mengikut harga ditetapkan...penguat kuasa KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi harga ditetapkan dan tidak berlaku kenaikan,“ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata 121 penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang terlibat dalam Ops Pantau di 74 buah bazar Ramadan di sekitar negeri itu sepanjang bulan puasa ini bagi mempertingkatkan keberadaan anggota di lokasi tumpuan pengguna.

Katanya, operasi itu turut dijalankan di pasar basah, pasar tani, pasar malam, pasar raya dan kedai runcit bagi memastikan pengguna mudah mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian pada harga munasabah serta tiada unsur pencatutan dilakukan peniaga dalam penetapan harga barangan dan perkhidmatan mereka.

“Sejak 3 April hingga semalam, sebanyak 749 premis telah diperiksa dengan dua kes diambil tindakan menurut Akta Timbang Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 membabitkan nilai kompaun RM700,“ katanya. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image