BUTTERWORTH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu syarikat tempat dia bekerja berhubung pembekalan perkhidmatan bernilai RM40,000 menggunakan invois palsu tujuh tahun lepas.

Aziedy Abdul Talib, 42, yang juga bekas ketua pegawai operasi Mutiara.com Sdn Bhd, sebuah syarikat teknologi maklumat (IT), dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat syarikat tersebut di Tingkat 14 Menara Umno, Jalan Macalister dalam daerah Timur Laut pada 11 Okt 2016.

Dia didakwa menipu kakitangan Mutiara.com Sdn Bhd dengan cara memperdaya Eksekutif Operasi Kewangan syarikat itu untuk mempercayai bahawa kandungan invois bernombor PC023/01/2016 untuk perkhidmatan “Kaspersky Antivirus License renewal consultation service” adalah benar bagi mendorong bayaran RM40,000 kepada ATR Resources Enterprise, sebuah syarikat milik adiknya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh turut didakwa atas pertuduhan pilihan kerana memberikan dokumen invois palsu kepada Eksekutif Operasi Kewangan, syarikat Mutiara.com Sdn Bhd untuk perkhidmatan yang sama, berjumlah RM40,000 yang tidak dilaksanakan oleh syarikat ATR Resources Enterprise.

Aziedy didakwa melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh yang sama dan pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh diwakili peguam Ang Chun Pun.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan Aziedy diikat jamin RM10,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri setiap sebulan sekali di Pejabat SPRM.

Mahkamah menetapkan 26 Jun untuk sebutan semula kes.

Pada April lepas, Aziedy turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama ke atas dua pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan membabitkan jumlah RM415,397, tujuh tahun lepas. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image