HANOI: Pasangan beregu boling wanita negara Gillian Lim Siew Giok-Nur Syazwani Sahar kekurangan tujuh jatuhan pin bagi memenangi pingat perak Sukan SEA Ke-31, di sini hari ini.

Pasangan itu terpaksa berpuashati dengan pingat gangsa acara itu yang berlangsung di Heroworld Bowling Centre, Vincom Megamall Royal City, selepas melakukan 2,471 jatuhan pin keseluruhan, ketinggalan kepada pasangan Indonesia yang menang perak Sharon Limansantoso-Tannya Roumimper, yang melakukan 2,478 jatuhan pin.

Singapura mengekalkan kemenangan pingat emas menerusi pasangan New Hui Fen-Cherie Tan Shi Hua yang melakukan 2,767 jatuhan pin, manakala satu lagi pasangan Malaysia Nerosha Keligit-Nora Lyana Nastasia Norkamal, berada di tempat keenam dengan 2,339 jatuhan pin.

Gillian berkata selepas berjaya memecahkan kebuntuan dengan memenangi pingat pertama boling pada kempen Sukan SEA yang bermula semalam, kem Malaysia yang terdiri daripada pemain muda dan kurang berpengalaman, akan meneruskan misi mereka untuk menang acara berpasukan yang bermula esok.

“Saya agak gembira dengan keputusan itu walaupun tewas, mereka amat berpengalaman dan kami telah lakukan yang terbaik untuk mendapatkan kelebihan pada permainan terakhir. Tetapi ia situasi yang amat berbeza dan bertekanan tinggi.

“Gembira kerana kami dapat mengekalkan permainan kami untuk memberikan boling pingat pertama ... Komunikasi akan menjadi asas untuk semuanya. Kami mempunyai hubungan yang baik dan saya percaya kami boleh lakukan yang terbaik untuk acara berpasukan. Kami bersedia untuknya,” katanya.

Terdahulu dalam acara beregu lelaki, Shahrukh Amin Zulkifli- Mohd Hafiz Zainuddin hanya berjaya menduduki tempat kelapan dengan melakukan 2,470 jatuhan pin, manakala Nervern Netaneel Marcellinus- Mohd Syazirol Shamsudin menamatkan permainan di tempat ke-10 dengan 2,455 jatuhan pin.

Pasangan Indonesia Ryan Leonard Lalisang-Hardy Rachmadian menang emas dengan 2,642 jatuhan pin, manakala Singapura menang perak dan gangsa menerusi Timothy Tham Fu Rong-Muhammad Jaris Goh (2,592) dan Darren Ong Wei Siong-Cheah Ray Han (2,551). - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image