Beri subsidi pengangkutan awam berbanding petrol: Jomo

08 Oct 2019 / 18:56 H.

KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi terkemuka Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram hari ini menggesa kerajaan untuk mengutamakan pemberian subsidi pengangkutan awam berbanding subsidi bahan api atau petrol.

Malah, kata beliau, ini penting bagi membantu golongan bawahan yang lebih banyak bergantung kepada kaedah pengangkutan awam tersebut.

“Siapa yang lebih banyak menggunakan bahan api? (Sudah pastinya adalah kalangan) pemilik kereta. Mereka yang berpendapatan 20% terendah sebaliknya tidak memiliki kereta mahu pun motosikal dan hanya bergantung kepada pengangkutan awam.

“Oleh itu, kerajaan perlu meneliti untuk memberi subsidi pengangkutan awam yang digunakan oleh 70% rakyat Malaysia dan kurangkan tumpuan terhadap 30% di peringkat atas,“ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan panel perbincangan bertajuk ‘Growth and Development’ (Pertumbuhan dan Pembangunan) pada Forum Megatrend Khazanah 2019.

Jomo berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan memansuhkan mekanisme subsidi petrol sedia ada dan secara berperingkat mengapungkan semula harga runcit petrol RON95 di Semenanjung Malaysia mulai 1 Jan, 2020.

Mengulas selanjutnya, Jomo berkata : “Kerajaan Malaysia telah cuba mengurangkan subsidi (bahan api) ini. Subsidi bahan api di mana-mana negara hanya menguntungkan kelas pertengahan berbanding bawahan.”

Menurutnya, Malaysia juga adalah antara negara yang mencatat pemilikan kereta tertinggi di dunia.

Beliau yang juga Penasihat Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Khazanah berkata kerajaan juga perlu menimbang peluang pertumbuhan atau pembangunan lainnya termasuk beralih kepada penggunaan biodiesel.

Ditanya mengenai cadangan kerajaan meliberalisasikan sektor tenaga, beliau berkata ini sejajar komitmen ke arah menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang sepatutnya diutamakan.

“Apabila projek penjana tenaga bebas (IPP) diberi kepada syarikat, kebanyakannya menjana tenaga menggunakan diesel.

“Namun kini mereka menggunakan arang batu iaitu satu langkah ke belakang kerana terdapat banyak bahan sufida dan sulfit yang terlepas ke ruang udara dan menjejaskan kesihatan orang ramai,“ katanya. — Bernama

email blast