KOTA TINGGI: Lima pendatang asing warga Indonesia ditemukan lemas, manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian bot karam kira-kira satu batu nautika dari Teluk Ramunia, Pengerang, di sini, pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata dalam kejadian pukul 4.50 pagi itu, 19 orang lagi terdiri daripada 10 wanita dan sembilan lelaki, ditemukan selamat terapung di lokasi kejadian.

“Dua mayat wanita ditemukan bersama dengan yang terselamat, manakala tiga lagi mayat wanita ditemukan kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi kejadian pada 7.30 pagi tadi,“ kata beliau dalam satu kenyataan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Pengerang di sini, hari ini.

Kesemua mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat, manakala yang selamat berumur antara 20 dan 40 tahun itu, dibawa ke Pos Angkatan Tentera Malaysia Tanjung Sepang, di sini.

Menurut beliau, bot kayu sepanjang 15 meter (m) dengan tiga enjin masing-masing berkuasa 200 kuasa kuda itu, dipercayai dari Tanjung Tondang, di Pulau Bintan, Indonesia dan mahu mendarat di Teluk Ramunia.

“Difahamkan bot berkenaan boleh bergerak selaju 80 kilometer sejam dengan kapasiti 27 penumpang, manakala jarak dari Pulau Bintan ke Teluk Ramunia kira-kira 17.7km dan sempadan Indonesia/Malaysia kira-kira enam batu nautika yang boleh mengambil masa hanya setengah jam.

“Kami percaya bot kayu berkenaan dipandu terlalu laju dengan ombak setinggi satu hingga 1.5m selain kelajuan angin, menyebabkan bot tidak stabil lalu karam,“ kata beliau.

Terdahulu, menerusi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia telah mengesan bot yang mencurigakan sedang bergerak dari perairan Pulau Bintan, Indonesia, menuju ke perairan negara pada pukul 3.45 pagi sebelum memaklumkannya pada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

TLDM kemudiannya mengesan bot berkenaan pada 4.10 pagi, bagaimanapun selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot dilihat dipandu terlalu laju sebelum karam di kedudukan 0.8 batu nautika Teluk Ramunia pada 4.50 pagi.

Beliau berkata bot kayu itu kemudiannya ditemukan pada 9.30 pagi tadi di kedudukan satu batu nautika barat daya kuala Sungai Rengit, di sini.

Nurul Hizam berkata usaha mencari tiga mangsa lagi diteruskan, meliputi 50 batu nautika sektor pencarian di laut serta 20km pencarian di darat dari Tanjung Penyusup sehingga Pos Maritim Pengerang.

“Seramai 97 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi serta tujuh aset terlibat dalam Op Carilamat,“ tambah beliau.

Insiden tersebut merupakan kejadian kedua bot karam dalam minggu ini melibatkan ramai pendatang asing lemas, selepas enam wanita warga Indonesia lemas manakala tujuh terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Pontian Besar Selasa lepas. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image