HANOI: Nguyen Thi Thanh Nha, juga dikenali sebagai Celine Nha Nguyen, mencipta sejarah sebagai wanita Vietnam pertama menakluki puncak Gunung Everest, menurut syarikat pendakian gunung yang berpangkalan di Nepal, Seven Summit Treks.

Seorang wakil syarikat itu memaklumkan beliau adalah wanita Vietnam pertama yang berjaya sampai ke puncak Everest, dan ia adalah pencapaian bersejarah bagi komuniti pendaki Vietnam, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Nha, seorang peguam dari Ho Chi Minh City, bercita-cita menakluki ‘Seven Summits’ - tujuh gunung tertinggi di dunia.

Pada Januari tahun ini, beliau berjaya menakluki Vinson Massif, dengan ketinggian 4,892 meter, puncak tertinggi di Antartika.

Nha dan pasukan ekspedisinya dijangka kembali ke base camp pada 17 Mei.

Setakat Disember 2021, hanya tiga lelaki Vietnam berjaya mendaki Gunung Everest, menurut The Himalayan Database.

Everest merupakan gunung tertinggi di dunia, dengan ketinggian mencecah 8,848.86 meter dari paras laut.

Selepas gempa bumi melanda Nepal pada 25 April 2015, gunung itu telah hilang ketinggian sebanyak 2.4cm dengan kedudukan berganjak 3cm ke barat daya. - Bernama