TELUK INTAN: Sesiapa yang dilantik sebagai wakil rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), perlu menyelesaikan masalah banjir yang kerap berlaku sehinggakan penduduk sudah lali berhadapan dengan musibah tersebut sejak lebih 30 tahun lamanya.

Menurut penduduk, masalah tersebut membelenggu mereka apabila hujan lebat berpanjangan sehingga menyebabkan kediaman dinaiki air dengan pantas sehingga membawa igauan ngeri kerana perlu menyelamatkan diri dan ahli keluarga sebelum sebarang masalah berlaku.

Seorang mangsa banjir, Rashidah Darus, 35 dari Kampung Batu 7, Jalan Changkat Jong berkata saban tahun pada musim tengkujuh, dia sekeluarga bersama penduduk kampung yang lain akan berpindah ke PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) yang dianggapnya sebagai rumah kedua.

“Sebelum ini pun ketika mengandung anak ketiga saya dipindahkan ke PPS. Kami sudah lali dengan keadaan ini. Ia memang berlaku setiap tahun semasa arwah kedua ibu bapa saya masih ada, inilah keadaannya dari saya kecil hinggalah sudah beranak-pinak,“ katanya yang mengandung 32 minggu ketika ditemui di PPS tersebut hari ini.

Bagi penduduk warga emas, Jabar Shah Idris, 65, hujan lebat sentiasa menjadi igauan dan beliau sekeluarga akan bersiap sedia dengan segala kemungkinan berlaku banjir.

“Petang semalam bila saya tengok aliran air dan parit telah bertakung saya sudah jangka akan berlakunya banjir dan saya serta isteri siap selamatkan dahulu apa yang patut. Kampung Batu 7, 8 dan 9 memang kerap berlaku banjir pada musim tengkujuh disebabkan berada di kawasan rendah dan apa yang kami boleh buat kena sentiasa berjaga-jaga bila tibanya musim hujan,“ katanya

Seorang lagi mangsa banjir, Nawawi Osman, 65, pula memberitahu kawasan kampungnya merupakan lokasi yang sering berlaku banjir sekiranya hujan turun dalam jangka masa lama namun beliau redha dan bersyukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mereka adalah antara 114 mangsa banjir daripada 33 keluarga yang ditempatkan di Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) di sini sejak pagi semalam.

Sementara itu jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan sehingga kini terdapat enam PPS dibuka melibatkan Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Kerian ; Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) ; Dewan Orang Ramai Kampung Piandang, Siputeh; Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang, Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt dan Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak.

“Kesemua PPS ini menempatkan 253 mangsa daripada 68 keluarga ,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerusi DUN Changkat Jong terletak dalam Parlimen Teluk Intan, menyaksikan penyandangnya Mohd Azhar Jamaluddin (BN) akan ditentang Nadziruddin Mohamed Bandi (Perikatan Nasional), Badrul Hisham Badarudin (Pakatan Harapan) dan Muhammad Amirul Mahfuz (Pejuang). - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image