SEARCH

Covid-19: 1,096 kes baharu, 3 kematian — KP Kesihatan

22 Nov 2020 / 19:22 H.

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini mencatatkan 1,096 kes baharu Covid-19, dengan Selangor terus mencatatkan kes tertinggi iaitu 603 kes (55.0 peratus) dan diikuti Sabah dengan 311 kes (28.4 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 54,775 kes.

Bagaimanapun, jumlah kes pulih melebihi kes baharu dengan 1,104 kes direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 41,597 kes.

Menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini, catatan kes baharu itu menjadikan bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 12,843 kes.

Beliau berkata daripada 1,096 kes baharu hari ini, sebanyak 1,090 kes melibatkan penularan tempatan manakala bakinya adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. — Bernama

email blast