SEARCH

Covid-19: Kadar kebolehjangkitan meningkat kepada 1.72

08 Sep 2020 / 20:00 H.

PUTRAJAYA: Kadar kebolehjangkitan Covid-19 iaitu Rt atau R naught (Ro) telah meningkat kepada 1.72 di Malaysia berbanding 0.72 dua minggu lepas, yang jelas menggambarkan situasi risiko berlakunya lebih banyak transmisi dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan ketara itu juga menunjukkan masyarakat mungkin kian alpa dan tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu, berdasarkan penilaian Kementerian Kesihatan terdapat juga peningkatan pergerakan masyarakat dalam negara.

“Nasihat-nasihat yang telah diberikan mulai diambil ringan dan ini termasuklah juga oleh petugas barisan hadapan dalam kalangan petugas kesihatan dan juga lain-lain agensi.

“Petugas barisan hadapan sememangnya mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti oleh Covid-19 atau lain-lain penyakit berjangkit ketika di fasiliti kesihatan. Ini tidak kiralah di fasiliti kerajaan atau swasta,“ katanya pada sidang media perkembangan berkaitan Covid-19 hari ini.

Selain itu, kata Dr Noor Hisham, petugas kesihatan juga boleh mendapat jangkitan semasa berada dalam komuniti iaitu sama seperti individu lain dalam masyarakat.

“Justeru, pematuhan 100 peratus terhadap garis panduan dan tatacara pengurusan semasa bertugas dan juga semasa tidak bertugas adalah amat penting.

“Ketidakpatuhan akan mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19. Misalnya, hari ini terdapat seorang anggota kesihatan daripada Kluster Sungai yang didapati telah menjangkiti tujuh orang ahli keluarganya,“ kata beliau.

Mengambil iktibar daripada kejadian itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan menggesa semua petugas kesihatan, petugas barisan hadapan pelbagai agensi dan semua lapisan masyarakat supaya mengambil serius situasi Covid-19 di dalam negara.

“Ambillah langkah berjaga-jaga untuk menjaga diri kita dan keluarga kita pada setiap masa,“ katanya. -Bernama

email blast