Covid-19: Kerajaan ambil langkah bijak, pragmatik kukuh kedudukan ekonomi - Tun Mohd Ali

MELAKA: Kerajaan telah mengambil langkah bijak dan pragmatik dalam mengukuhkan kedudukan ekonomi negara yang mencabar ketika penularan pandemik Covid-19, kata Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam (pix).

Beliau berkata Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan kerajaan persekutuan amat disambut baik oleh rakyat, manakala kerajaan negeri turut mengumumkan inisiatif pemberian bantuan khas kepada kumpulan sasar yang terjejas akibat Covid-19.

“Tahun 2020 adalah tahun yang membawa pelbagai cabaran di serata dunia dan ketidaktentuan yang dialami membawa kesan kepada dunia. Covid-19 bukan sahaja memberi kesan kepada cara hidup masyarakat malah ekonomi negara dan dunia.

“Ini adalah fenomena yang sukar diramal, impaknya tidak terjangkau namun kita bersyukur kerajaan kita mengambil langkah-langkah yang bijak dan pragmatik,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas mengangkat sumpah dan menandatangani surat cara sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata penularan pandemik Covid-19 juga menyebabkan sektor pelancongan Melaka terjejas dan aktiviti sokongan sektor itu seperti perhotelan serta produk pelancongan belum berupaya untuk pulih sekurang-kuranya dalam tempoh setahun akan datang.

Justeru, katanya pelbagai pihak yang terlibat termasuk jabatan dan agensi kerajaan berkaitan disaran menggunakan tempoh itu sebagai persediaan untuk menambah baik fasiliti dan perkhidmatan, serta imej Melaka sebagai negeri paling bersih dan selamat di negara ini.

“Tingkatkan kualiti produk pelancongan yang ditawarkan bagi menarik pelancong domestik dan seterusnya kumpulan pelancong asing yang saban tahun akan memenuhi kalendar pelancongan negeri Melaka,“ katanya.

Beliau berkata perubahan budaya norma baharu perlu menjadi amalan pada masa ini bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi terus berjalan serta memberi manfaat kepada rakyat.

Sehubungan itu, Mohd Ali menyarankan usaha pendigitalan di negeri ini perlu disegerakan bagi memenuhi keperluan norma baharu kehidupan bagi membolehkan rakyat menghadapi cabaran ekonomi semasa dan akan datang.

“Usaha penambahbaikan ini perlu digerakkan untuk memastikan masyarakat mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk memanfaatkan platform dalam talian bagi mengurus aktiviti sosio-ekonomi termasuk menjalankan urusan perniagaan dan mendapatkan perkhidmatan kerajaan,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image