Covid-19: Kerajaan perlu teruskan usaha bantu rakyat --KRI

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneruskan usaha membantu rakyat dalam bentuk bantuan atau pakej rangsangan bagi membolehkan mereka mampu mengharungi impak pandemik Covid-19, demikian menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Pengerusinya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata kerajaan juga tidak harus terlalu bimbangkan mengenai langkah menaikkan nisbah hutangnya pada saat-saat krisis, malah masih terdapat ruang untuk melakukan pinjaman terutamanya dalam pasaran hutang domestik.

“Kerajaan perlu membantu berikutan keadaan kita yang masih belum selamat. Saya juga yakin kerajaan ini akan terus memberi bantuan kepada rakyat dalam tempoh mencabar ketika ini.

“Sekarang adalah tempoh bagi perancangan Belanjawan 2021 dan saya yakin pihak Perbendaharaan turut meneliti perkara terbabit secara terperinci -- menilai mana yang boleh dilaksanakan dan sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat media secara maya mengenai penerbitan KRI ‘The State of Households 2020,’ (Laporan Keadaan Isi Rumah 2020) di sini, hari ini.

Nor Mohamed yang juga mantan Menteri Kewangan, juga menyifatkan kerajaan mempunyai masa mencukupi untuk meneliti semula pakej-pakej rangsangan terdahulu yang diperkenalkan bagi menampung impak Covid-19 sebelum merangka bantuan baharu untuk rakyat dalam krisis kesihatan itu.

“Dalam era ini, jika ada bertanyakan bolehkah kerajaan terus berbelanja? Jawapannya, bagi saya adalah “bolehkah kerajaan tidak berbelanja dalam tempoh mencabar ini?,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nor Mohamed juga menganggap krisis kesihatan sedia ada dijangka berlanjutan sehingga beberapa tahun lamanya.

Namun, beliau berkata pengajaran terbaik daripada krisis itu sewajarnya dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk melakukan perubahan struktur bagi tempoh jangka pendek dan panjang.

Pihak kerajaan misalnya, perlu mengambil peluang daripada krisis ini untuk mampu mewujudkan masyarakat lebih baik, kukuh serta saksama berbanding tempoh sebelum krisis berkenaan, kata beliau.

“Sehubungan itu, usaha pengukuhan sistem perlindungan sosial adalah penting bagi mewujudkan jaringan keselamatan untuk isi rumah yang berdepan pelbagai risiko dan kesukaran sepanjang hidup mereka, sehinggakan sering terperangkap dalam kitaran hidup lebih rendah daripada tahap biasa,” katanya.

Nor Mohamed berkata kerajaan juga wajar memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan struktur ekonomi negara.

“Sebagai contoh, bagi sektor pertanian, kita perlu berganjak daripada dominasi satu jenis tanaman sahaja kepada pempelbagaian tanaman yang membolehkan kita lebih berdikari,” katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image