SEARCH

Covid-19: Kes baharu melonjak, kluster DTI Bukit Jalil tambah kes

22 May 2020 / 19:37 H.

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat 78 kes baharu hari ini, iaitu yang ketiga paling banyak setakat ini untuk Mei, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 7,137.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,163 kes.

Untuk rekod, sebanyak 105 kes baharu dicatat pada 2 Mei dan 122 kes baharu pada 3 Mei. Sejak 10 hari lepas, kes baharu adalah di bawah 50.

Daripada 78 kes baharu hari ini, 25 kes import dan 53 lagi akibat penularan tempatan. Daripada 53 kes penularan tempatan, 40 melibatkan bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah memberitahu sidang media harian Covid-19 hari ini, daripada 40 kes bukan warganegara, 25 adalah dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Laporan Kluster DTI Bukit Jalil semalam merekodkan 35 kes positif Covid-19.

Sementara itu, sehingga pukul 12 tengah hari ini, seramai 63 orang pesakit Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj dari wad, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya, 5,859 orang atau 82.1 peratus.

Setakat ini, sebanyak sembilan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi dan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Setelah dua hari tanpa rekod kematian baharu, hari terdapat satu kematian, menjadikan jumlah kes berkaitan Covid-19 kepada 115 kes. Kes ini melibatkan pesakit lelaki berusia 65 tahun dengan sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

PATUH SOP PKPB

Ketika umat Islam di negara ini membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, mereka juga dingatkan supaya terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan 13 Mei dan dijadualkan berakhir 9 Jun depan.

Ini amat penting untuk mengekang penularan Covid-19 serta memutuskan rantaian jangkitan penyakit maut itu di tengah-tengah kebimbangan akan muncul pula kluster baharu, iaitu Kluster Hari Raya.

SOP yang dikeluarkan SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menuntut setiap anggota masyarakat memastikan penjarakan sosial, sentiasa cuci tangan dengan sabun atau pembasmi kuman dan elak perhimpunan.

Di samping itu, beberapa kenyataan dan peringatan yang dikeluarkan MKN dan KKM yang perlu diambil berat :-

- Kunjungan Hari Raya Aidilfitri hanya dibenarkan pada hari pertama perayaan itu. Bermalam dikira melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

- Peraturan yang sama juga terpakai pada ziarah sempena sambutan Hari Gawai di Sarawak dan Hari Kaamatan di Sabah. Jumlah maksimum 20 orang sehari ini juga perlu mengambil kira saiz kediaman masing-masing bagi memastikan prosedur operasi jarak sosial dapat diamalkan.”

- Berkuatkuasa Khamis 21 Mei, tidak ada lagi permohonan rentas negeri di balai polis. Pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan sama sekali.

- Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertegas dalam tindakan ke atas sesiapa yang melanggar serta mematuhi SOP; tidak ada lagi kompromi untuk yang “cuba curi-curi balik kampung”. Bermula Khamis 21 Mei, kenderaan yang cuba rentas negeri bukan sahaja diarah berpatah balik tetapi juga akan dikompaun di tempat sekatan jalan raya.

- Pada Khamis 21 Mei, sebanyak 2,539 kenderaan yang cuba merentas negeri dan diarah patah balik; Rabu 20 Mei, 2,412 kenderaan; Selasa 19 Mei, 3,212 kenderaan; Isnin 18 Mei, 1,633 kenderaan.

- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat kenyataan, walaupun kerajaan benarkan ziarah pada hari raya pertama, patuhi SOP yang ditetapkan. Lebih bagus elakkan kunjung mengunjung, elak bergerak ke zon merah dan lebih selamat berhari raya secara tertutup. KKM menyarankan agar rakyat tidak balik ke kamoung untuk berhari raya.

- KKM juga ingatkan orang ramai elakkan 3C dan amalkan 3W. Elakkan 3C, iaitu elakkan kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space), dan elak bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

- Amalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), sangat digalakkan memakai alat penutup hidung dan mulut (face mask) di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan warn, iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan termasuk elak bersalaman/bersentuhan; amalkan etika batuk dan bersin; lakukan aktiviti disinfeksi; duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya ada urusan penting sahaja; dan dapatkan rawatan segera jika bergejala.

- Selain daripada warga emas, kumpulan kanak-kanak dan bayi adalah juga merupakan kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19. Sehingga 16 Mei 2020, terdapat 317 kes positif Covid-19 di kalangan kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Daripada jumlah tersebut, 112 kes (35 peratus) adalah di kalangan kanak-kanak berumur (4) tahun dan ke bawah, dan 22 kes (7 peratus) di kalangan bayi kurang daripada 1 tahun. Setakat ini. Tiada kes kematian positif Covid-19 telah dicatatkan di kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun. – Bernama

Untitled Document

email blast