IPOH: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) merampas 276 unit bubu naga menerusi Program Pemantauan dan Penguatkuasaan Vesel Penangkapan Ikan di perairan Perak sejak Isnin hingga semalam.

DOF dalam satu kenyataan menyatakan menerusi program itu, sebanyak enam buah vesel penangkapan ikan tempatan berdaftar telah ditahan, dan pemeriksaan yang dijalankan pihaknya telah mengesan pelbagai jenis kesalahan dilakukan melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985.

“Sepanjang tempoh tersebut juga sebanyak empat buah vesel penangkapan ikan tempatan tanpa nombor bersama peralatan telah ditahan, dan sebanyak 276 unit bubu naga disita.

“Dianggarkan RM3 juta nilai rampasan dan sitaan bersama hasil lelongan ikan melebihi RM2,000, dilakukan sepanjang program dilaksana,” menurut kenyataan dikeluarkan DOF hari ini.

Dalam kenyataan itu DOF menegaskan, mereka tidak akan berkompromi dalam melindungi sumber perikanan negara dan sentiasa bersiap siaga melakukan rondaan bagi mengekang aktiviti yang melanggar Akta Perikanan 1985.

“Jabatan Perikanan akan mengaktifkan lagi aktiviti pengawasan dan penguatkuasaan di seluruh perairan perikanan, sebagai menyokong aktiviti pengurusan sumber perikanan dalam merealisasikan dasar jaminan bekalan makanan negara,” menurut kenyataan itu lagi. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image