ALOR SETAR: Tindakan seorang abang yang mahu menyelamatkan adiknya daripada lemas berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya ditemukan lemas di kawasan Air Terjun Sungai Sedim, di Kulim, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Redzuan Salleh berkata sebelum kejadian, mangsa Mohamad Syafiq Yusof, 33, dan adiknya Mohamad Syazwan, 25, dikatakan mandi bersama tiga rakan mereka di air terjun itu pada 3.20 petang.

“Semasa mandi di kawasan lubuk kawah, tiba-tiba air berpusar dan menenggelamkan kesemua mereka. Empat daripada mereka berjaya naik ke atas menyelamatkan diri, tetapi Mohamad Syazwan hilang dan disyaki lemas.

“Abang mangsa telah terjun semula ke dalam sungai untuk menyelamatkan adiknya. Bagaimanapun, kedua-dua beradik yang berasal dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang itu, lemas,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Mohd Redzuan penduduk kampung turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat sebelum menemukan kedua-dua mangsa yang tenggelam di dasar sungai, pada 3.55 petang.

“Mayat dua beradik itu dihantar ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image