BALING: Hujan lebat berterusan selama tiga jam menyebabkan dua buah kampung iaitu Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang di sini dilanda banjir petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Rasidah Kassim berkata hujan lebat yang bermula kira-kira 2 petang tadi mengakibatkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing.

“Pihak APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) menerima laporan tentang banjir kilat tersebut pada kira-kira pukul 6 petang dan anggota APM Baling kemudian membuat tinjauan ke lokasi kejadian.

“Anggota APM mendapati beberapa rumah dimasuki air susulan banjir kilat tersebut bagaimanapun setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini pihaknya sedang mengemas kini maklumat berkaitan bencana itu termasuk jumlah mangsa terlibat serta jumlah rumah yang terjejas atau mengalami kerosakan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image