BANTING: Dua pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, dua minggu lepas.

Ishardy Shamudin, 41, dan Muhammad Yazzid Mohd Yusoff, 31, dituduh membunuh M. Saravana Kumar, 24, di tepi Jalan Haji Wahab, Kampung Olak Lempit, di sini antara pukul 10 hingga 11 malam pada 11 Jan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ermadieyani Ismadi manakala Ishardy diwakili peguam Nik Muhammer Hurrie Muhamad Sukri dan peguam R. Sritheran mewakili Muhammad Yazzid.

Majistret Khairul Farhi Yusob menetapkan 27 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Jan lepas, Bernama melaporkan polis menahan dua pengawal keselamatan dipercayai memukul seorang lelaki hingga mati dalam pergaduhan berhampiran sebuah kedai runcit. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image