KUALA LUMPUR: Duopharma Biotech Bhd berkata pihak kerajaan telah melanjutkan perjanjian pembekalan dan penghantaran produk-produk insulin manusia selama setahun lagi bermula 2 Disember lepas dengan nilai kontrak tambahan sebanyak RM19.625 juta.

Perjanjian itu membabitkan kerajaan, Biocon Sdn Bhd sebagai pengeluar dan Duopharma Marketing Sdn Bhd (DMktg) yang juga anak syarikat milik penuh Duopharma Biotech sebagai pihak pengedar sah/penjual semula Biocon.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Duopharma Biotech berkata susulan nilai kontrak tambahan kedua ini, jumlah nilai kontrak berkenaan telah meningkat kepada RM410.725 juta daripada RM300.04 juta sepertimana dalam perjanjian asal.

Setakat 2 Dis, 2020, nilai produk yang akan ditentukan oleh kerajaan di bawah perjanjian (termasuk nilai kontrak tambahan kedua itu) adalah kira-kira RM69.08 juta.

“Usaha pembekalan terbabit akan menyumbang secara positif kepada hasil dan perolehan Duopharma Biotech bagi tahun kewangan 2021.

“Syarikat ini ingin menyatakan bahawa pindaan berkaitan akan dimuktamadkan menerusi pelaksanaan perjanjian pembekalan rasmi terhadap perjanjian antara kerajaan, Biocon dan DMktg pada tarikh kemudian,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image