MELAKA: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini, atas tuduhan mengedar dadah jenis syabu dengan anggaran berat 23.1 kilogram.

Lau Siong Poh, 50, mengaku faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam. Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis syabu seberat 23,188 gram, pada 11 Nov lepas, pukul 12.10 tengah malam, di Jalan Baiduri 8, Pulau Melaka, Melaka Tengah.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Jan tahun depan bagi serahan laporan kimia. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image