PUTRAJAYA: Langkah menghentikan eksport ayam bermula 1 Jun ini akan dikaji semula sebaik bekalannya dalam negara kembali stabil, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata sebanyak 3.6 juta ekor ayam dieksport ke beberapa negara setiap bulan antaranya Singapura, Vietnam dan Pakistan serta tindakan intervensi kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam adalah bagi memastikan bekalan domestik mencukupi.

Jelasnya, negara kini berdepan kekurangan bekalan ayam ekoran beberapa faktor yang dimaklumkan pihak industri termasuk jangkitan penyakit dan berat ayam di ladang yang tidak mencapai standard untuk dipasarkan.

“Industri ternakan ayam dan telur merupakan satu industri sepatutnya memenuhi keperluan negara kerana kita capai 100 peratus kadar sara diri (SSL) untuk ayam dan telur (sebelum ini),“ katanya kepada media pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Mafi, di sini hari ini.

Ronald berkata kerajaan turut melakukan intervensi sebelum ini bagi menangani kenaikan harga ayam di pasaran dengan pemberian subsidi kepada penternak iaitu 60 sen sekilogram diberikan pada Februari dan Mac, kemudian ditambah 80 sen lagi pada April dan Mei, menjadikan keseluruhan subsidi RM1.40 sekilogram.

“Ia diharap dapat melindungi harga ayam di pasaran pada kadar RM8.90 sekilo. Langkah intervensi itu melibatkan lebih RM700 juta untuk enam bulan,“ katanya.

Ditanya sama ada kementerian akan mewujudkan jawatankuasa khas untuk memantau bekalan ayam, Ronald berkata cadangan itu akan dikaji jika perlu kerana pada masa ini Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dipertanggungjawabkan untuk memantau situasi pengeluaran ayam.

Menurutnya, keperluan bekalan ayam di dalam negara adalah antara 1.8 juta hingga dua juta.

Selain itu, Ronald berkata DVS telah diarah untuk memperluaskan sumber bekalan dari negara lain dan kini pihaknya sedang menilai beberapa permohonan loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.

Beliau berkata pada masa ini terdapat beberapa loji sembelihan di luar negara antaranya China, Thailand dan Brazil yang ditauliahkan DVS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Kementerian Kesihatan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image