Elaun sara hidup nelayan dinaikkan ke RM300 sebulan

BEAUFORT: Kerajaan bersetuju menaikkan Elaun Sara Hidup Nelayan dari RM250 kepada RM300 sebulan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya ingin ingatkan, sewaktu Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, Warisan adalah sebahagian daripada PH. Di waktu itu, elaun sara hidup nelayan dipotong dari RM300 kepada RM250.

“Hari ini saya ingin umumkan, kita kembalikannya semula,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh ketika berucap melancarkan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit Huma, di Dataran Bagandang, di sini, kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, dua timbalannya Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun dan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Skim itu antara lain memberi bantuan berupa geran, elaun, skim ternakan, dan zakat kepada golongan peladang, penternak dan nelayan yang layak mendapatnya dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup golongan itu.

Skim berkenaan melibatkan agensi seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Agrobank. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image