KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan empat lagi individu bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung perhimpunan #Turun di hadapan Pusat Beli-belah Sogo di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata sebelum ini seramai 27 individu telah diambil keterangan melibatkan ahli politik dan aktivis pelajar, namun kertas siasatan berkenaan yang telah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dipulangkan semula.

“Pejabat Timbalan Pendakwa Raya telah memulangkan kembali kertas siasatan itu dan mengarahkan untuk merekod keterangan daripada empat individu lagi,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas program Road March Sempena Peringatan Hari Polis ke 215 di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Noor Dellhan berkata keempat-empat individu berkenaan akan diambil keterangan dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pada 23 Julai lepas, kira-kira 100 orang terdiri daripada mahasiswa, ahli parti politik dan beberapa individu telah berhimpun sambil memegang plakad dan gegantung bertulis ‘potong gaji menteri’, ‘turun dan lawan’ dan lain-lain.

Sementara itu, Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata program Road March yang julung kali diadakan itu hari ini bertujuan mendekatkan masyarakat dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaras tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Program sehari berkenaan yang melibatkan kerjasama strategik PDRM bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Penerangan Malaysia disempurnakan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah jabatan pembangunan komuniti dan kesejahteraan bandar, DBKL, Ismadi Sakirin.

Dalam program bermula 7 pagi berkenaan orang ramai yang hadir disajikan persembahan aksi payung terjun oleh enam anggota komando VAT 69 PDRM dan perarakan unit berkuda, kenderaan serta aset PDRM.

Kaunter bayaran saman yang menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus turut diserbu ribuan pengunjung yang mengambil kesempatan menyelesaikan bayaran saman tertunggak masing-masing. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image