KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki termasuk dua warga asing kerana disyaki terlibat menyimpan dan mengedar pelbagai jenis minuman keras elak cukai dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Bamboo Garden di Jalan Ipoh, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kesemuanya yang berusia lingkungan 25 hingga 41 tahun ditahan pada 1.55 tengah hari oleh sepasukan polis dari Batalion 4 Pasukan Gerakan Am Semenyih dan dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Beliau berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati modus operandi kegiatan itu adalah dengan berselindung di sebalik premis perniagaan dan mereka dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas.

“Hasil serbuan, polis merampas 14,832 botol dan 7,464 tin minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai adalah barang tidak berkastam dengan nilai dan cukainya dianggar sebanyak RM861,924.

“Polis juga telah mengenal pasti dalang kes berkenaan dan sedang giat mengesan suspek manakala kesemua suspek yang ditahan, direman 10 hari bermula Ahad lepas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau mengedar minuman keras seludup dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image