SEREMBAN: Empat pelajar lelaki tingkatan empat dan tiga sebuah sekolah menengah di sini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan memukul seorang pelajar junior pada 13 Mei lepas.

Tiga tertuduh yang berumur 16 tahun dan seorang lagi 15 tahun itu membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Kesemua pelajar berkenaan didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar berusia 13 tahun dengan memukulnya kira-kira pukul 12 tengah malam pada 13 Mei lepas di asrama putera sekolah berkenaan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman dan kesemua mereka tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 22 Jun ini sebagai sebutan semula kes untuk jatuh hukum dan laporan akhlak. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image