MELAKA: Polis Melaka menahan enam ahli Geng Faiz Tanah Merah termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, kerana dipercayai terlibat dalam kejadian curi dan samun motosikal di sekitar daerah Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kesemua suspek berusia antara 13 hingga 40 tahun itu, ditahan dalam empat serbuan berasingan di Tangga Batu, Paya Rumput, Taman Paya Rumput Indah dan Rembia di sini, antara 11.30 pagi hingga 5 petang semalam.

Beliau berkata tangkapan pertama melibatkan dua lelaki dan satu wanita termasuk pasangan kekasih di Tangga Batu kira-kira 11.30 pagi, dan diikuti masing-masing seorang lelaki di tiga lagi lokasi berkenaan.

“Hasil siasatan yang dijalankan ke atas kesemua ahli Geng Faiz Tanah Merah itu didapati, mereka bukan sahaja mencuri motosikal malah terlibat dalam kejadian samun, serta melarikan kenderaan berkenaan.

“Setiap ahli kumpulan sindiket berkenaan mempunyai peranan masing-masing dalam jenayah berkenaan, termasuk remaja lelaki berusia 13 tahun yang tidak lagi bersekolah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata setiap motosikal yang dicuri atau disamun, akan diubah suai atau dileraikan untuk dijual di samping ada yang digunakan ahli kumpulan itu.

Beliau berkata Geng Faiz Tanah Merah berkenaan, dipercayai aktif dalam jenayah berkenaan sejak beberapa bulan lepas dan pihaknya percaya dengan penahanan kesemua ahli kumpulan itu, lapan kes curi dan samun motosikal di sekitar Melaka Tengah, berjaya diselesaikan.

Christopher berkata lapan kertas siasatan dibuka iaitu enam kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK) dan dua kes lagi disiasat di bawah Seksyen 395 KK. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image