KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menyeru Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) supaya melihat semula semula format pertandingan Piala Dunia 2023 semasa di Bhubaneswar, Rourkela, India.

Berdasarkan format semasa, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata adalah tidak adil bagi pasukan seperti Malaysia, yang mencatatkan lebih banyak kemenangan namun menamatkan kejohanan itu lebih rendah daripada pasukan yang mencatatkan satu kemenangan di India.

Ketika impian Speedy Tigers untuk mara ke suku akhir musnah selepas tewas kepada Sepanyol 3-4 menerusi penentuan penalti ‘shoot-out’ sudden death’ dalam saingan ‘Crossover’, Subahan percaya bahawa pasukan negara harus bermain untuk klasifikasi tempat ke-9-12 dan bukannya menentang Afrika Selatan untuk perlawanan klasifikasi tempat ke-9-16.

“Afrika Selatan kalah setiap perlawanan dalam Kumpulan A dan akhirnya menamatkan saingan lebih tinggi daripada kami. Kita tidak boleh berbuat banyak kerana itu adalah peraturan FIH tetapi saya serius menyeru badan antarabangsa ini untuk melihat semula perkara ini kerana ia tidak adil.

“Saya tidak percaya kami menamatkan 13, kami sepatutnya bermain untuk tempat 9-12,” katanya pada sidang media semasa Mesyuarat Eksekutif Lembaga MHC, di sini, hari ini.

Skuad Speedy Tigers, kendalian A. Arul Selvaraj, yang muncul naib juara Kumpulan C, kalah 3-6 kepada Afrika Selatan pada klasifikasi tempat kesembilan hingga 16, Khamis lalu.

Pada edisi Piala Dunia kali ini, skuad negara menamatkan saingan di kedudukan ke-13 berkongsi kedudukan bersama Perancis selepas menewaskan Jepun 3-2, semalam.

Pada edisi 2018 di India, Malaysia menamatkan saingan di tempat ke-15.

Dalam pada itu, Afrika Selatan menduduki tempat ke-11 selepas tewas 2-5 kepada tuan rumah, India, pada perlawanan klasifikasi 9-12.

Subahan berpendapat adalah lebih baik FIH menggunakan format edisi sebelum ini di mana pasukan yang menduduki tangga tercorot kumpulan tersingkir terus daripada pertandingan dan kedudukan mereka akan dikira berdasarkan prestasi mereka dalam aksi kumpulan.

Katanya, skuad negara akan berkumpul semula selepas pulang ke tanah air, Selasa ini, dan akan memberi tumpuan memenangi pingat emas Sukan Asia di Hangzhou, China dari 23 Sept hingga 8 Okt. dalam usaha memperoleh slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image