ISKANDAR PUTERI: Masalah pergaduhan, gangguan bunyi bising dan kebersihan antara isu gangguan paling banyak direkodkan melibatkan pekerja warga asing di negeri ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah (foto) berkata antara lokasi tumpuan isu gangguan tersebut adalah melibatkan kawasan penempatan asrama pekerja warga asing.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima banyak aduan mengenai isu gangguan berpunca daripada pekerja asing khususnya Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

“Bahagian Penguatkuasaan PBT sering menjalankan kolaborasi dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor bagi membasmi masalah kacau ganggu dalam kalangan pekerja asing dengan penduduk tempatan terutamanya di kawasan perumahan pekerja.

“Operasi penguatkuasaan dijalankan adalah berdasarkan aduan diterima dan pemantauan berkala yang dijalankan PBT dan JTK,“ katanya pada Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Fuad Tukirin (BN-Bukit Naning) yang ingin tahu isu melibatkan pekerja asing di negeri ini dan peranan pengusaha kilang dalam memastikan peraturan keselamatan dipatuhi.

Mohd Hairi berkata Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 menggariskan majikan perlu mematuhi kriteria dalam menempatkan pekerja selain mematuhi peraturan berkaitan.

“Keselamatan dan kesihatan tidak terbatas di tempat pekerjaan sahaja tetapi perlu diperluas di kawasan penginapan, pada waktu pergi dan pulang dari tempat pekerjaan serta sekitar tempat pekerjaan.

“Statistik Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) juga menyatakan bahawa dua daripada tiga kemalangan maut yang berlaku setiap hari adalah berpunca daripada kemalangan individu yang berulang alik ke tempat kerja,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image