HANOI: Atlet petanque kebangsaan, Syed Afiq Fakhri Syed Ali berazam menjadikan kegagalan mara ke final mixed doubles Sukan SEA ke-31 sebagai motivasi untuk mencipta pencapaian lebih cemerlang pada edisi berikutnya.

Kekalahan 8-13 kepada gandingan Kemboja Vong Sin-Chantha Vorng itu menyaksikan Syed Afiq yang berpasangan dengan adiknya, Sharifah Afiqah Farzana terpaksa berpuas hati merangkul gangsa pada penampilan sulung mereka di temasya sukan dwitahunan itu.

“Kekalahan ini bagi kami motivasi untuk maju dan kekalahan ini tidak menyedihkan kami tetapi semangat untuk terus berjuang,” katanya yang merupakan penuntut Diploma Sains Sukan dan Rekreasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, kepada Bernama di sini.

Sejurus tamat aksi yang berlangsung di Pusat Latihan Sukan dan Pertandingan Hanoi itu, beliau dan adiknya yang mencipta kejutan menewaskan Vietnam dan Thailand pada saingan liga sepusingan semalam, dilihat tidak dapat menahan kesedihan sehingga menitiskan air mata.

Kejayaan merangkul pingat pada penampilan pertama semestinya menggembirakan, namun Syed Afiq tetap tidak dapat menahan daripada mengalirkan air mata kerana kekecewaan yang jelas terpancar di wajah adiknya.

“Sebenarnya saya cuba untuk tahan supaya tidak menangis tetapi adik yang menangis dulu, kerana kasih sayang abang-adik saya turut merasai kesedihan dan terharu,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Afiqah mengakui tidak dapat menahan air matanya selepas tidak berjaya menggapai impian untuk membawa pulang pingat emas buat negara.

“Saya menangis sebab tidak mampu nak bagi semua orang pingat emas dan sebab saya telah berikan yang terbaik,” kata atlet berusia 18 tahun itu yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Seperti abangnya, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar di Dungun, Kuala Terengganu itu berkata kegagalan hari ini akan membakar semangat beliau untuk bekerja lebih keras bagi melakar kejayaan lebih baik.

Beliau berharap selepas ini dapat menyertai banyak kejohanan di pentas antarabangsa bagi menimba pengalaman dan merasai suasana serta tekanan beraksi di luar negara.

Dalam pada itu, pingat emas dimenangi Vong-Chantha selepas menewaskan gandingan tuan rumah Thach Pha Nara-Nguyen Van Quang pada aksi final sementara Thailand diwakili Sunitra Phuangyoo-Phongsakron Ainpu menjadi pemenang gangsa bersama. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image