KOTA BHARU: Gabungan Sepaktakraw Kelantan (GASTAK) mempertaruhkan tujuh pemain berpengalaman bagi membawa cabaran Kelantan Warriors menghadapi kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Februari depan.

Presiden GASTAK Zuraidin Abdullah berkata kesemua tujuh pemain itu mempunyai pengalaman luas beraksi di STL dengan menyertai beberapa pasukan sebelum ini.

“Pasukan diperkuatkan dengan dua pemain tekong iaitu Muhammad Nazmi Mohd Najib yang sebelum ini bermain dengan pasukan ATM Guardians dan Muhammad Zulkifli Abd Razak bekas pemain Terengganu Turtles,“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Makan Malam GASTAK, di sini, malam tadi.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan Wan Roslan Wan Hamat.

Zuraidin berkata lima pemain lain adalah dua pemain apit kiri iaitu Nik Muhammad Afiq Mazlan yang dipilih menerusi kejohanan Piala Menteri Besar Kelantan yang diadakan sebelum ini selain mengekalkan pemain kebangsaan iaitu Aidil Aiman Azwawi bagi mengalas tugas di posisi itu bagi memberikan cabaran sengit kepada pasukan lain.

“Bagi posisi apit kanan pula, kami mempertaruhkan tiga pemain iaitu mengekalkan Muhammad Eqbal Shamsudin dan Wan Naim Izani Wan Noor serta mendapatkan khidmat seorang pemain dari luar Kelantan yang sebelum ini beraksi bersama Terengganu Turtles Fadzli Muhammad Roslan.

“Kami turut mendapatkan khidmat bekas Ketua Jurulatih KL Thunder Azhar Sarabini bagi memperkuatkan pasukan untuk tidak memberi laluan mudah kepada pasukan yang menyertai STL musim depan,“ katanya.

Beliau berkata GASTAK yakin dengan kesemua tujuh pemain terbabit mampu mempamerkan aksi yang terbaik bagi mencatatkan keputusan positif pada setiap perlawanan dihadapi.

“Kita meletakan sasaran tiga pasukan terbaik pada musim depan berbanding musim lalu kita berada di tempat keenam,“ katanya.

Sementara itu Wan Roslan berkata pemain yang menyertai pasukan Kelantan musim depan perlu memberikan hadiah kepada peminat negeri ini.

“Kita tahu sepak takraw antara sukan paling digilai oleh rakyat Kelantan selepas bola sepak, jadi kita mahu pemain-pemain menunjukkan satu permainan yang positif kepada penyokong-penyokong untuk musim depan,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image