PASIR MAS: Setiap kali musim tengkujuh, Che Yah Che Lah, seorang peniaga ikan kering di Pasar Bandar Tasek Raja, di sini tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan khususnya terhadap ikan kering gelama sungai.

Che Yah, 77, atau mesra disapa Mok Yoh berkata disebabkan rasanya yang enak dan sukar diperoleh harga ikan kering tersebut mencecah hingga RM100 sekilogram (kg).

“Ada banyak jenis ikan gelama, tetapi ikan gelama sungai paling sukar diperoleh kerana ia hanya ada setahun sekali iaitu pada April. Ikan tersebut akan diproses menjadi ikan kering sebelum dijual pada musim tengkujuh dan kebanyakannya saya dapat daripada pembekal sekitar Kelantan.

“Rasanya yang unik dan enak menyebabkan ikan kering gelama sungai mempunyai penggemarnya tersendiri, jadi walaupun harganya dianggap ‘harga kayangan’ ikan kering tersebut tetap mendapat permintaan tinggi,“ katanya ketika ditemui Bernama di Pasar Bandar Tasek Raja, hari ini.

Menurut Mok Yoh, yang sudah berjualan selama 40 tahun, ikan kering gelama sungai memiliki isi yang lebih banyak dan saiznya lebih besar berbanding ikan kering lain.

Katanya rasa ikan kering gelama sungai juga berbeza daripada ikan gelama bekok (dibuat separuh kering dan basah) yang biasa terdapat di pasaran, kerana ia bukan saja segar dan kurang masin malah lebih enak terutama apabila dinikmati bersama nasi panas.

“Ikan kering gelama sungai ini ada tiga harga berbeza bagi berat sekilogram iaitu bermula RM50 hingga RM100,“ katanya yang turut menjual lebih 30 jenis ikan kering seperti ikan cencaru, seliat, kikik, jebedik, sepat lecek, bulu ayam, selain ikan pekasam dan ikan ‘jeruk’. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image