KUALA LUMPUR: Sebanyak 34 panggilan kecemasan bangunan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat di sekitar Lembah Klang berikutan gegaran disebabkan gempa bumi di Bukit Tinggi, Sumatera, Indonesia pagi ini.

Antara panggilan yang diterima melibatkan bangunan-bangunan di Taman Miharja, Menara Glomac, Wisma BSN, Menara AmBank di ibu negara, sekitar Shah Alam, Cyberjaya, Sepang, Kapar, Banting, Puchong, Kajang, Subang Jaya dan Petaling Jaya.

Gegaran itu dirasai berikutan gempa bumi berukuran 6.1 skala Ritcher di utara Sumatera, Indonesia pada 9.39 pagi ini dan MetMalaysia menerusi ciapan di Twitter memaklumkan gegaran turut dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur berkata Pusaat pemantauan dan memastikan penghuni bangunan berada dalam keadaan selamat.

Semua panggilan itu adalah panggilan kecemasan bangunan yang meminta bomba memeriksa keselamatan bangunan susulan gegaran itu dan setakat ini tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan, katanya.

Sementara itu di SHAH ALAM, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata susulan kejadian itu orang ramai yang berada di tempat tinggi dan masih merasai gegaran dinasihat supaya turun ke tempat rendah dan rata serta terus menghubungi pihak keselamatan untuk tindakan lanjut.

Di MELAKA, tujuh panggilan berkaitan gegaran diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri melibatkan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Seri Negeri, bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, bangunan Hang Tuah Jaya dan Bangunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Tengah.

Panggilan juga diterima melibatkan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Melaka di Jalan Lingkaran Pusat Dagangan Dunia Melaka (MITC), bangunan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Jalan Bukit Palah dan bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Tehel.

“Pihak kami menerima panggilan berkaitan gegaran itu antara 9.45 pagi dan 10.42 pagi hari ini. Setakat ini tiada kecederaan mahupun keretakan bangunan dilaporkan di bangunan-bangunan itu,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image