KUALA LUMPUR: Generasi muda perlu menghayati perjuangan generasi terdahulu dalam memperjuangkan keamanan dan keharmonian yang dinikmati ketika ini.

Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata tanpa pengorbanan dan keringat yang diperah oleh generasi terdahulu untuk kemerdekaan negara, tidak mungkin generasi masa kini dapat menikmati kehidupan yang selesa.

“Darah kita sama merah. Warna rambut kita mungkin berbeza, kulit kita mungkin berbeza warnanya. Tetapi hati kita sama, kita adalah rakyat Malaysia. Dan tidak ada apa pun yang boleh mengubah itu daripada kita.

“Biar orang bergaduh, tapi kita mesti ingat apa yang dilakukan oleh bapa-bapa dan emak-emak kita semua. Mereka berjuang bertungkus lumus untuk kalian semua berada di sini dalam keadaan yang begitu aman,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Perpaduan 2022 Sekolah Antarabangsa Methodist Wesley, di sini, hari ini.

Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral berkata generasi muda sebagai pewaris negara perlulah sentiasa bersatu padu dalam melakukan yang terbaik untuk negara.

“Saya mohon adik-adik semua untuk sentiasa ingat bahawa kita adalah rakyat Malaysia dan tidak ada sesiapa sekalipun yang boleh mengambil itu daripada kita semua.

“Saya ingin kalian semua tahu, kalian semua adalah generasi negara kita. Kita mesti lakukan yang terbaik untuk negara kita. Kita mesti bersatu,” katanya yang turut memuji pentadbiran pihak sekolah atas inisiatif menganjurkan program bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image