KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akur terhadap apa jua keputusan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah termasuk mewujudkan kerajaan perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor berkata pendirian itu senada dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan penubuhan kerajaan perpaduan harus inklusif serta melibatkan kerajaan Sabah dan Sarawak yang diberi mandat oleh rakyat.

Ketua Menteri Sabah itu berkata GRS juga berpendirian bahawa adalah perlu pembentukan kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera.

“Bagi memastikan negara maju ke hadapan, kita mesti mempunyai kestabilan politik demi menjamin pembangunan ekonomi ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan Pakatan Harapan menang 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), GPS (23), GRS (enam), Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

Keputusan PRU15 menyaksikan tidak ada parti mahupun blok parti politik yang berjaya mendapat majoriti sekali gus menyebabkan Parlimen tergantung. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image