LOS ANGELES: Gunung berapi Mauna Loa di Hawaii, Amerika Syarikat, gunung berapi aktif terbesar di dunia, meletus buat kali pertama dalam tempoh hampir 40 tahun, kata pihak berkuasa.

Letusan bermula pada pukul 11.30 malam waktu tempatan Ahad, menurut Perkhidmatan Taman Negara AS. Ia adalah letusan pertama sejak 1984, lapor Xinhua.

Letusan berterusan di puncak Mauna Loa. Semua bolong terhad pada kawasan puncak. Pada masa ini tiada petunjuk mengenai sebarang migrasi letusan ke zon keretakan, menurut kemas kini terkini Balai Cerap Gunung Berapi Hawaii.

Aliran lava di kawasan puncak boleh dilihat dari Kona, menurut kemas kini itu.

Pada masa ini, aliran lava terhad di kawasan puncak dan tidak mengancam penduduk yang mendiami di kawasan lereng gunung, menurut Balai Cerap.

Penduduk yang berisiko akibat letusan lava Mauna Loa, dinasihatkan bersiap sedia selain sentiasa merujuk kepada maklumat Pertahanan Awam Daerah Hawaii untuk panduan lanjut, kata Tinjauan Geologi AS.

“Berdasarkan kejadian lepas, peringkat awal letusan Mauna Loa boleh menjadi sangat dinamik dan lokasi serta aliran lava boleh berubah dengan cepat,“ menurut amaran agensi itu. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image