KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk menamatkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bermula tahun hadapan, merupakan langkah wajar bagi menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan selain memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, berkata langkah untuk membuka perkhidmatan yang ditawarkan Puspakom kepada pihak lain yang berkelayakan, juga mampu mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan penyedia perkhidmatan.

“Isu yang timbul melibatkan tahap perkhidmatan yang ditawarkan Puspakom sebenarnya sudah lama, sehingga aduan yang diterima daripada orang ramai tidak dipandang serius, memandangkan mereka merupakan penyedia perkhidmatan tunggal pemeriksaan berkala kenderaan motor.

“Jadi dengan langkah ini, syarikat baharu yang akan menyediakan perkhidmatan ini kelak dapat menangani kekurangan yang ada di Puspakom, sekali gus membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan, Puspakom tidak akan lagi menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 Sept 2024.

Loke berkata langkah itu berdasarkan keputusan mesyuarat Kabinet pada 17 Mac lepas agar perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor, dibuka kepada mana-mana pihak yang berkelayakan.

Dalam pada itu, Nadzim berkata keputusan untuk menamatkan monopoli ini harus disertakan dengan penubuhan satu badan pemantau, bagi mengawal selia perkhidmatan dan menangani sekiranya terdapat aduan membabitkan kualiti dan tahap perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat-syarikat terlibat.

“Saya mohon kerajaan tubuhkan satu badan untuk kesan semua kelemahan dalam perkhidmatan yang diberikan, termasuk sama ada dari Puspakom mahupun syarikat-syarikat baharu dan kemudiannya melakukan siasatan untuk membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, runner Puspakom Ahmad Fuad, 35, berkata keputusan yang dibuat kerajaan ini dilihat dapat membuka lebih banyak peluang untuknya menerima ‘kerja’ daripada pelanggan dan tidak lagi hanya terhad dengan Puspakom.

“Biasanya kalau saya bawa masuk kenderaan berat untuk pemeriksaan di Puspakom akan ambil masa seharian lebih kurang dari 9 pagi hingga 6 petang, tetapi bila ada syarikat lain yang tawarkan perkhidmatan sama, sudah tentu dari segi masa juga dapat dijimatkan dan saya mungkin boleh ambil dua atau tiga ‘kerja’ dalam sehari,” katanya.

Ahmad yang telah menawarkan perkhidmatannya sejak 2014 berharap, syarikat baharu yang akan menawarkan pemeriksaan berkala kenderaan motor ini kelak, menggunakan peralatan yang canggih setara dengan apa yang terdapat di Puspakom atau lebih berteknologi tinggi.

“Sebab kita tidak mahu adanya syarikat baharu wujud, tetapi perkhidmatan yang diberikan lebih teruk atau tidak ada perubahan, kerana apa yang kita harapkan adalah penambahbaikan dalam perkhidmatan,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image