Harga maksimum ayam seperti harga perayaan sebelum ini - Nanta

PUTRAJAYA: Harga maksimum ayam, iaitu RM7.50 sekilogram bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri tahun ini adalah sama seperti ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Dalam kenyataan hari ini, beliau menafikan dakwaan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya harga ayam pada musim perayaan Aidilfitri ketika pentadbiran PH adalah RM3 sekilogram kerana pemeriksaan rekod yang diwartakan mendapati harga maksimum ayam ketika itu adalah RM7.50 sekilogram.

“Beliau (Anwar) boleh bertanya semula dengan bekas Menteri KPDNHEP ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk kepastian memandangkan warta SHMMP yang lepas ditandatangani oleh beliau,” kata Nanta, sebagai mengulas kenyataan pemimpin pembangkang itu yang dibuat dalam satu sesi yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasminya.

Nanta berkata beliau turut terkilan dengan dakwaan yang dilemparkan kononnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) lambat bertindak dalam mengawal harga barangan menjelang musim perayaan kali ini.

“Tuduhan itu tidak adil memandangkan pegawai dan penguat kuasa KPDNHEP sanggup membahayakan keselamatan serta kesihatan diri demi tugas dengan mengadakan perbincangan, perancangan, pemeriksaan serta operasi penguatkuasaan dalam tempoh yang sukar ketika negara berdepan Covid-19,” katanya.

Beliau menjelaskan penetapan harga barangan pengguna bukan bersifat politik, sebaliknya menggunakan mekanisme tertentu yang ditetapkan oleh pegawai pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan.

Katanya mekanisme yang digunakan adalah sama seperti ketika pentadbiran PH sebelum ini, malah pada SHMMP kali ini, KPDNHEP membuat penambahan barang kawalan iaitu sebanyak 35 barangan berbanding 27 barangan pada 2019.

Dalam pada itu, beliau berkata dakwaan sesetengah pihak bahawa harga barangan termasuk ayam meningkat ketika ini sebenarnya adalah bersifat tanggapan semata-mata kerana hakikat sebenar, harga ini ditentukan oleh teori asas ekonomi iaitu faktor permintaan dan bekalan.

“Hujah harga yang agak murah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tidak sesuai digunakan kerana ketika itu permintaan menurun disebabkan banyak aktiviti perniagaan dan kehidupan harian rakyat disekat. Ia menyebabkan lebihan bekalan, seterusnya memaksa peniaga dan pembekal menurunkan harga,“ katanya.

Keadaan ketika ini agak berbeza kerana selepas kelonggaran diberikan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kebanyakan aktiviti ekonomi dan kehidupan rakyat sudah kembali seperti biasa, katanya.

“Malah, dengan sambutan perayaan yang semakin hampir, permintaan terhadap barangan juga meningkat, sekali gus menyebabkan harganya kembali seperti sedia kala,” katanya.

Menyedari harga barangan boleh melambung jika tidak dikawal, Nanta berkata KPDNHEP mengambil langkah proaktif mengadakan SHMMP yang sebenarnya menjadi rutin sejak sekian lama, setiap kali menjelang musim perayaan. – Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image