KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel kekal bagi tempoh seminggu bermula esok hingga 6 Julai berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit petrol RON97 dan RON95 masing-masing kekal pada RM4.84 dan RM2.05 seliter, manakala diesel pada RM2.15 seliter.

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel, walaupun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

MOF turut memaklumkan kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image