KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mengadakan program libat urus dengan penggiat indusri rantaian bekalan ayam negara bagi menentukan harga siling ayam yang baharu.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata libat urus berkenaan diadakan susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai keputusan kerajaan untuk meneruskan penetapan harga siling ayam di pasaran.

“Pertemuan dengan penggiat industri sebagai pemegang taruh dalam rantaian bekalan ayam di pasaran adalah antara lain bagi menentukan paras harga siling seterusnya memandangkan penetapan sebelum ini dijadual berakhir pada 30 Jun (Khamis depan),” katanya dalam catatan di Facebook beliau hari ini.

Menurut Nanta, sesi yang bermula pagi tadi akan mengambil kira segenap pandangan dalam menentukan tahap harga maksimum jualan ayam di pasaran.

Peranan KPDNHEP akan terarah kepada penguatkuasaan demi memastikan peniaga mematuhi harga siling yang ditetapkan, katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.

Menurut Ismail Sabri, harga siling baharu bagi ayam akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Pada masa ini, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image