Henti buat kenyataan, perbuatan sentuh sensitiviti rakyat: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menggesa semua pihak agar berhenti daripada membuat kenyataan atau melakukan perbuatan yang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata beliau memandang serius perkembangan tidak sihat berkaitan beberapa insiden yang ditularkan sejak kebelakangan ini, yang dianggap sebagai suatu provokasi untuk mengeruhkan keadaan dalam negara.

“Tindakan menghina lambang negara terutama Jalur Gemilang dan lagu Negaraku adalah amat tidak bertanggungjawab dan tidak melambangkan semangat patriotisme.

“Pada masa sama, penganjuran sebarang aktiviti untuk memperingati atau menghidupkan semula pergerakan komunis di negara ini tidak sepatutnya berlaku dan wajar dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia telah mula menjalankan siasatan terhadap insiden itu dan beliau telah mengarahkan agar perkembangan siasatan dimaklumkan kepada umum dalam masa terdekat.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut lunas undang-undang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang didapati dengan sengaja cuba menimbulkan kegusaran awam.

“Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang tindak-tanduk yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian negara,” katanya.