KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor melalui pejabat kesihatan daerah (PKD) akan memantau pusat penjagaan kanak-kanak di negeri itu dengan lebih ketat supaya penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya juga akan mengadakan sesi taklimat dan tunjuk ajar selain penilaian risiko bagi institusi jagaan kanak-kanak yang terdapat di negeri itu.

Setakat 21 Mei lepas, beliau berkata sebanyak 13,262 kes HFMD direkodkan dengan daerah Petaling mencatatkan kes paling tinggi iaitu 4,155 diikuti Hulu Langat (2,608 kes) dan Gombak (2,112 kes), selain 419 daripada jumlah keseluruhan kes tersebut telah dimasukkan ke wad.

Di MELAKA, 39 kes HFMD dilaporkan melibatkan murid prasekolah di 22 sekolah rendah, dengan 38 kes daripadanya dikesan di Alor Gajah manakala satu kes lagi di sebuah sekolah di Melaka Tengah.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata bagaimanapun tiada penutupan sekolah atau kelas dilakukan setakat ini kerana wabak berkenaan masih terkawal.

“Di peringkat Jabatan Pendidikan dan Kesihatan negeri, kita juga sentiasa memantau kes jangkitan HFMD dan langkah-langkah pencegahan turut dilakukan agar kes jangkitan dapat dikawal sepenuhnya,“ katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Di SABAH, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata COVID-19 telah mengajar rakyat Sabah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang penyakit berjangkit, justeru tindakan sama wajar diteruskan bagi penyakit HFMD yang menular ketika ini.

Beliau berkata meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat adalah lebih penting dalam mengekang penularan penyakit berjangkit seperti HFMD dan COVID-19, terutama ketika musim perayaan seperti Pesta Kaamatan yang bakal tiba 30 hingga 31 Mei ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image