KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein disahkan positif Covid-19.

Pejabat Menteri Kanan Pertahanan dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan, Hishammuddin yang telah menerima dos penggalak kini sedang menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Beliau sememangnya menjalani ujian pengesanan Covid-19 jenis RT-PCR secara berkala selain turut kerap melakukan ujian pengesanan secara kendiri (self-test) melalui kaedah RTK Antigen. Kali terakhir beliau menjalani ujian pengesanan jenis RT-PCR dan mendapat keputusan negatif Covid-19 ialah pada Jumaat, 18 Feb lepas,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa Menteri Kanan Pertahanan itu akan terus memantau dan menjalankan tugas yang sesuai sepanjang tempoh beliau dikuarantin.

“Marilah kita sama-sama mendoakan semoga beliau dan setiap individu yang dijangkiti wabak Covid-19 ketika ini segera dikurniakan kesembuhan oleh Allah SWT (dan) seterusnya dapat kembali menjalani rutin harian seperti sedia kala. Insya-Allah,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Hishammuddin menerusi ciapan di Twitter memaklumkan keadaannya ketika ini adalah baik.

“Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan baik buat masa ini. Semoga setiap individu yang dijangkiti wabak ini segera diberikan kesembuhan Allah SWT. Stay safe everyone,” katanya. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image