JOHOR BAHRU: Ketua Jurulatih Hong Kong Jorn Andersen berkata biarpun beliau tidak dapat membawa pemain-pemain terbaik untuk menghadapi Malaysia dalam perlawanan persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, malam esok, tentangan hebat boleh dijangkakan daripada anak-anak buahnya.

Jurulatih dari Norway itu berkata beberapa pemain yang bermain dalam liga bola sepak di China menghadapi kesukaran mendapat pelepasan daripada pasukan masing-masing dan ada dalam kalangan pemain yang tidak dapat menyertai pasukan itu atas faktor kecederaan.

Bagaimanapun jurulatih berusia 60 tahun itu berkata sekurang-kurangnya 21 pemain dalam skuad itu dapat membentuk sebuah pasukan yang lebih baik daripada pasukan yang tewas 0-2 kepada Malaysia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun tahun lepas.

“Kami masih tidak dapat memilih pasukan yang terbaik (kali ini) tetapi ia adalah satu daripada skuad terbaik. Kali terakhir kami di sini semasa pandemik COVID-19 kami tidak dapat memilih pemain yang berpangkalan di China, kali ini ada sedikit kelegaan kerana beberapa pemain boleh menyertai kami.

Selain daripada itu ada beberapa pemain kami cedera tetapi kami di sini dengan sebuah peasukan yang baik. Khamis lepas kami bermain satu perlawanan yang baik menentang Singapura, kami menguasai permainan dan mencipta banyak peluang tetapi saya tidak begitu berpuas hati dengan keputusannya, ia sepatutnya lebih baik,” katanya dalam sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Anak-anak buah Andersen seri 1-1 dengan Singapura di Stadium Mong Kok, Hong Kong biarpun mereka menguasai keseluruhan permainan.

Beliau berkata perlawanan menentang Singapura dan Malaysia adalah berbeza kerana pendekatan gaya permainan bola sepak kedua-dua pasukan dan beliau menjangkakan pasukannya bakal menghadapi cabaran hebat esok.

“Semasa menentang Singapura, mereka bertahan di hadapan gawang hampir 90 minit tetapi esok saya rasa permainan akan berbeza dengan ketara. Malaysia akan bermain dengan lebih menyerang dan memberikan tekanan yang tinggi jadi baik buat kami untuk berhadapan dengan sebuah pasukan yang kuat. Saya boleh janji kali ini kami lebih kuat daripada sebelumnya, “ katanya.

Sementara itu, Andersen berkata dua pemain daripada pasukan Bawah-22 tahun yang tewas kepada Malaysia dalam final Piala Merlion 2023 di Singapura semalam diserap untuk melengkapkan pasukan kali ini dan memberikan beliau lebih banyak pilihan.

Pada masa sama, bek kanan Hong Kong Tsui Wang Kit berkata kekalahan 0-2 sebelum ini kepada Malaysia telah dilupakan dan mereka mahu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk perlawanan kali ini yang dijangka menarik.

“Yang lepas biarkan berlalu, kami perlu fokus untuk perlawanan esok, saya pasti kami akan mencuba yang terbaik untuk memenangi perlawanan dan saya percaya kami akan menyukarkan mereka.

Saya tahu pemain sayap Malaysia adalah pantas dan berkemahiran, tetapi saya akan buat yang terbaik, pertahanan kami kuat dan saya tidak takut kepada mereka, kami akan bermain lebih agresif bukan hanya sekadar bertahan,” kata pemain Lee Man FC yang berusia 26 tahun itu. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image