KUALA LUMPUR: Berpisah dengan gandingan sedia ada bukan satu pengakhiran buat pemain beregu lelaki negara Goh Sze Fei, malah ia tidak sedikitpun meranapkan impiannya untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik.

Susulan keputusan untuk memisahkan beliau daripada pasangannya Nur Izzuddin Rumsani yang dibuat baru-baru ini, Sze Fei terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024, namun semangatnya tidak terjejas.

Walaupun masih belum mengetahui pasangan baharunya, pemain berusia 25 tahun itu berkata beliau masih berpeluang untuk beraksi di temasya sukan terbesar berkenaan pada edisi 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Ya (bermain di Sukan Olimpik 2028) tapi perlu berbincang dengan jurulatih dahulu mengenai siapa akan jadi gandingan saya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ditanya mengenai pemain yang sesuai bergandingan, Sze Fei yang sering beraksi di bahagian hadapan berharap mendapat pasangan yang boleh bermain dan melakukan serangan daripada belakang.

Sze Fei berkata beliau sedia memikul tanggungjawab untuk membantu dan membimbing pemain muda mencapai tahap terbaik mereka sekiranya pasukan kejurulatihan memutuskan untuk bekerjasama tidak lama lagi.

Bagaimanapun, juara Terbuka Jerman 2022 itu berharap dapat berkongsi impian sama dengan pasangan baharunya nanti dalam mencipta kejayaan cemerlang termasuk memenangi kejohanan pada masa akan datang.

Buat masa ini, jurulatih beregu lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Bin Shen berkata pasukan kejurulatihan masih berbincang sebelum memutuskan pasangan baharu buat Sze Fei dan Nur Izzuddin, yang akan dimumkan sendiri Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky tidak lama lagi.

“Sze Fei sering bermain di bahagian hadapan gelanggang manakala Nur Izzuddin lebih kepada serangan, jadi kita perlu mencari pemain yang mempunyai corak permainan lebih kurang sama, baru kita boleh gandingkan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Bin Shen enggan mengulas sama ada akan berlaku perpisahan beregu membabitkan gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri, untuk digandingkan dengan Sze Fei dan Nur Izzuddin.

“Seperti yang saya katakan, semuanya masih dalam perbincangan sebab apabila kita sudah pisahkan, kita perlu fikirkan banyak perkara mengenai gandingan mereka dan semuanya, dan kita masih belum mendapat keputusan muktamad,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Prestasi Tinggi BAM Dr Tim Jones mengakui bahawa mereka perlu berhati-hati dalam mencari pasangan baharu untuk Sze Fei dan Nur Izzuddin kerana tidak boleh sebarangan memilih pasangan buat kedua-dua pemain terbabit dan berharap jurulatih akan mendapat formula terbaik untuk pemain terbabit. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image