SEARCH

Individu bertugas di Selangor, KL, Putrajaya dibenarkan rentas daerah, negeri dengan surat kebenaran

13 Oct 2020 / 17:36 H.

KUALA LUMPUR: Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini, individu yang bertugas dibenarkan merentas daerah dan negeri dengan syarat mempunyai pas pekerja yang sah atau surat kebenaran daripada majikan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi yang perlu melalui negeri Selangor dan Kuala Lumpur ke negeri-negeri lain, mereka dinasihatkan agar mendapatkan kebenaran daripada balai polis berhampiran sebelum membuat perjalanan.

“Bagi pekerja dari dalam daerah yang sama, mereka tidak perlu mengemukakan surat majikan atau pas pekerja. Individu yang menggunakan pergerakan udara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2 dan Subang, mereka juga perlu mendapatkan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia.

“Bagaimanapun, kerajaan menggalakkan majikan membenarkan pekerja-pekerja mereka untuk bekerja dari rumah,“ katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan.

Ismail Sabri dalam sidang medianya semalam mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan Covid-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak. -Bernama

email blast