KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa mendengar dan menghayati isu-isu dihadapi oleh belia dan pencari kerja, termasuk menyediakan pelbagai inisiatif dalam Bajet 2022 serta yang dicadangkan dalam Bajet 2023.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata Bajet 2023 misalnya memberi manfaat kepada kesemua pencari kerja dan belia seperti peruntukan RM305 juta bagi pinjaman khas untuk usahawan belia.

Cadangan lain adalah lanjutan Skim Tekun Belia Mobilepreneur menerusi pembiayaan modal untuk anak muda dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal dengan peruntukan berjumlah RM10 juta.

“Sehubungan itu, bangkitlah wahai anak muda Malaysia dan rebutlah peluang-peluang ini kerana kerajaan telah mendengar dan menghayati isu-isu yang dihadapi oleh pencari kerja.

“Pelbagai penyelesaian telah diutarakan (oleh kerajaan) melalui Bajet 2023,” katanya berucap pada majlis perasmian Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia 202 Kuala Selangor di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata di bawah Bajet 2023, kerajaan bercadang membangunkan 13 lagi Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara yang dapat merapatkan jurang di antara Kerajaan Persekutuan, penduduk di bandar-bandar kecil dan di peringkat akar umbi.

Jumlah itu merupakan tambahan kepada 150 Pusat Satelit sedia ada dengan 12 daripadanya terletak di Selangor termasuk Paya Jaras, Pulau Meranti, Bukti Kapar, Sg Gumut, Bukit Cherakah, Kampung Kundang, Taman Saujana Utama, Bangi dan Kajang.

Menyentuh Program Subsidi Upah (PSU) yang diperkenalkan pada 1 April 2020, Tengku Zafrul berkata usaha tersebut telah memberi manfaat kepada 358,158 majikan selain menyelamatkan 2.96 juta pekerjaan di seluruh negara.

“Walaupun program tersebut melibatkan belanja yang tinggi iaitu lebih kurang RM21 bilion, namun langkah yang diambil oleh kerajaan ini jelas menyumbang kepada kejayaan,” katanya.

Malah, katanya, pelbagai langkah yang dilaksanakan seperti Insentif Penggajian, Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan PSU turut membantu dari segi penurunan beransur-ansur kadar pengangguran negara kepada 3.7 peratus setakat Ogos 2022 berbanding 4.6 peratus pada tahun lepas.

“Kesemua ini adalah hasil pendekatan kerajaan yang sentiasa mendengar serta menghayati keluh-kesah pekerja dan majikan dan terus selesaikan melalui pelbagai langkah yang padu dan dilaksanakan dengan rapi,” katanya.

Dalam memastikan kesejahteraan rakyat khususnya golongan belia, kerajaan menyokong penuh pelbagai program penempatan pekerjaan melalui Portal MYFutureJobs -- sebuah portal pekerjaan negara yang dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Beliau berkata, sehingga 14 Oktober lepas, portal MyFutureJobs berjaya membantu 652,799 pencari kerja mendapat pekerjaan di seluruh negara dengan 454,510 daripadanya adalah penerima insentif Program Penggajian PenjanaKerjaya dan Program JaminKerja – Insentif Penggajian.

“Sebagai usaha berterusan seperti yang dapat dilihat pada (acara) hari ini, sebanyak 26 majikan telah menawarkan 5,643 peluang pekerjaan.

“Karnival yang dianjurkan di seluruh negara ini adalah usaha kerajaan dalam memastikan pencari kerja, terutama belia, mendapat peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image