KUALA LUMPUR: Bayangkan anda perlu mengusung mangsa yang cedera melalui laluan sempit dan gelap kira-kira 100 meter ditambah pula dengan risiko terkena renjetan elektrik, ia usaha yang sukar diungkapkan.

Namun, itulah situasi cemas hampir dua jam yang harus ditempuhi 75 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kuala Lumpur termasuk anggota pasukan bomba elit Underground Tunnel and Rail Rescue Team (UTRT) ketika menyelamatkan 213 mangsa insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), Isnin lepas.

Menceritakan detik getir itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata anggotanya antara yang paling awal tiba di lokasi kejadian dan melihat mangsa kebanyakannya berada dalam keadaan trauma.

“Suara tangisan boleh didengari di segenap ruangan stesen itu, ramai antara mereka berada dalam keadaan cedera dan masih terkejut dengan apa yang menimpa mereka ketika itu.

“Pasukan UTRT Bomba terus memulakan misi menyelamat tetapi menghadapi sedikit kesukaran kerana penumpang ketika itu ramai dan gerabak berada di dalam terowong yang gelap dengan jarak (gerabak) dengan dinding hanya beberapa meter,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata pasukan UTRT Bomba juga harus berwaspada dengan aliran arus elektrik di lokasi kejadian yang boleh mencecah sehingga 750 DC atau arus terus untuk menggerakkan sesebuah tren.

G. Sandra Segaran, antara pegawai bomba yang tiba awal di lokasi kejadian berkata perkara pertama yang dilakukan adalah mengarahkan mangsa yang cedera ringan untuk keluar dari tren sebelum mengenal pasti mangsa yang cedera parah untuk diselamatkan.

“Ada dalam kalangan mangsa dikeluarkan secara berpapah atau menggunakan pengusung mengikut peringkat kerana laluan terowong itu sempit. Saya bersyukur operasi menyelamat berjalan lancar dan tiada kehilangan nyawa dalam insiden ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Mohamad Syafizi Mohd Shukri pula berkata walaupun berdepan kesukaran untuk membawa keluar mangsa di laluan sempit, perkara itu bukanlah halangan terbesar.

Jelasnya, sudah menjadi tanggungjawab sebagai anggota bomba untuk menyelamatkan mangsa namun kaedah yang digunakan sudah tentunya pelbagai, asalkan mangsa berjaya diselamatkan.

Mengakui insiden tren itu merupakan antara cabaran terbesar terutamanya kepada anggota UTRT, Nordin berkata kejadian itu membuktikan pasukan yang ditubuhkan dua tahun lepas itu wajar diperkasakan dalam memenuhi keperluan semasa memandangkan pada ketika ini banyak pembinaan laluan tren dibuat di bawah tanah.

“Unit UTRT dianggotai 20 anggota elit yang dilengkapi dengan kemahiran serta latihan operasi menyelamat dalam terowong dengan memberi fokus aktiviti menyelamat mangsa yang terperangkap dalam tempoh yang singkat.

“Kami akan terus memperkasakan unit ini dari semasa ke semasa agar sebarang implikasi dapat dikurangkan,” katanya.

Insiden membabitkan dua tren LRT itu adalah pertama kali berlaku selepas 23 tahun beroperasi sebagai pilihan utama pengangkutan awam dalam kalangan warga kota di Lembah Klang.

Kemalangan dua tren di laluan terowong berdekatan Stesen LRT KLCC dan Kampung Baru itu mengakibatkan 47 daripada 213 penumpang tren berkenaan mengalami cedera parah manakala 166 lagi cedera ringan.- Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image