KUALA LUMPUR: Isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) sekiranya tidak ditangani akan mengganggu keharmonian dalam negara dan akan menjadi lebih serius jika dibiarkan berterusan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata perkara berkenaan diberikan perhatian yang tinggi khususnya hantaran yang dibuat menyentuh sensitiviti agama, kaum dan Institusi diraja.

“PDRM memandang serius hal ini (isu 3R) dan kami akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat keharmonian dan ketenteraman agama.

Oleh yang demikian, PDRM telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas dikenali sebagai Pasukan Siasatan Khas 3R diwujudkan sejak Mac lepas bagi menangani isu terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Minum Petang PDRM Bersama Media Sempena Aidilfitri di Mes Pegawai Kanan di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata siasatan kes-kes melibatkan 3R dilakukan dengan pantas bagi menjamin keharmonian masyarakat di negara ini.

“Isu 3R perlu dihindari setiap masa dan setiap kertas siasatan berkaitan 3R perlu disiapkan dalam tempoh tujuh hari. Apabila berlaku kes seperti ini kita ambil tindakan pantas untuk menyiasat dalam memastikan agar pelaku dikesan dan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata ini adalah untuk memastikan supaya keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terpelihara dan kesejahteraan negara terjamin.

Acryl Sani berkata sebanyak 23 kes direkodkan pasukan petugas berkenaan bagi tempoh 22 Mac hingga 17 Mei lepas dengan 11 kes membabitkan penghinaan raja atau institusi diraja, empat mengenai agama dan lima mengenai kaum.

Menurutnya, tiga kes berjaya didakwa manakala dua lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut, sementara 18 lagi masih disiasat.

Pada 22 Mac lepas, PDRM menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes melibatkan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja.

Pasukan itu diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 JSJ. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image